Sunday, November 28, 2010

Sains Menemui Adam dan Hawa?

(Gambar sekadar hiasan)
Manusia terus mengkaji berkenaan asal-usulnya dan Quran sendiri meransang manusia ke arah itu berdasarkan kata-kata Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat 20 yang bermaksud:
Katakanlah, Berjalanlah di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan manusia, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi (di Akhirat).
Kajian manusia melahirkan penemuan baru dalam bidang ilmu genetik.Mengikut para saintis, 99.9% gen (genomes) yang terdapat dalam diri manusia adalah sama (identical) dan hanya 0.1 % yang berbeza. Peratus yang berbeza yang sedikit ini rupa-rupanya mengandungi rahsia mengenai keturunan manusia pada peringkat awal dahulu. Apabila kita menyebut mengenai gen, kita sebenarnya sedang bercakap mengenai DNA kerana gen mengandungi DNA. 


Gen atau DNA ini datang daripada kedua-dua ibu bapa seseorang dan apabila dia pula berkahwin dia menurunkan campuran DNA yang baru kepada anak-anaknya dan begitulah seterusnya sehinggalah ke hari ini. Justeru, gen-gen ini terus berubah dari masa ke masa kesan daripada campuran DNA lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun, saintis mendapati dua bahagian gen manusia tidak dipengaruhi sedikit pun oleh benih ataupun DNA daripada pasangan mereka, justeru keasliannya boleh dikatakan terpelihara sampai ke hari ini. Kedua-dua itu adalah kromosom Y yang diperturunkan daripada pihak lelaki kepada keturunannya yang lelaki dan DNA mitokondria yang diperturunkan pihak perempuan kepada keturunannya yang perempuan. Justeru dengan mengkaji kromosom Y seseorang lelaki para saintis dapat mengenal pasti keturunannya daripada sebelah lelaki. Demikian juga dengan mengkaji DNA mitokondria seseorang wanita, mereka dapat mengenal pasti keturunannya di sebelah pihak wanita.

Pada 1987, sekumpulan pakar Universiti California melaporkan hasil kajian mereka yang dilakukan ke atas 147 wanita yang mempunyai latar belakang geografi yang berbeza. Pakar-pakar ini mengkaji DNA mitokondria wanita ini dan mendapati kesemua mereka datang daripada ibu asal yang satu. Penemuan ini dilaporkan dalam majalah Nature (Volume 325, 1 Januari 1987) di bawah tajuk Mitocondrial DNA and Human Evolution.

Pada 23 November 1995, majalah The Times pula melaporkan mengenai hasil ujian yang dilakukan ke atas kromosom Y sekumpulan lelaki. Dr. Michael Hammer yang terlibat dalam ujian tersebut mendapati kaum lelaki juga mempunyai bapa asal yang sama.

Tidak dinafikan kajian-kajian ini masih berada di tahap yang awal. Namun begitu, penemuan ini begitu menarik kerana ia selari dengan konsep Islam yang mengatakan manusia berasal daripada bapa dan ibu yang sama iaitu Adam dan Hawa. Ia juga jelas menunjukkan asal usul manusia tidak ada kaitan dengan makhluk haiwan seperti beruk dan monyet.

Petikan daripada Quran Saintifik: Dr. Danial Zainal Abidin, terbitan PTS Millenia.

0 comments:

Post a Comment

Kongsikan ilmu atau suarakan pandangan