Sudah menjadi kebiasaan bangsa Arab untuk mengirimkan anak mereka pada tahun pertama usianya ke perkampungan untuk disusukan. Maka, Abdul Muthalib menyerahkan cucunya kepada Halimah Sa’diyah untuk disusukan.
Menurut Abu Ishak, Halimah bercerita bahawa dia pernah pergi dari kampungnya bersama suami dan putera susuannya yang masih kecil dalam rombongan wanita bani Saad untuk mencari bayi lain yang akan disusuinya. Dia berkata, “ Peristiwa itu terjadi pada tahun paceklik, tahun di mana kami tidak mempunyai apa-apa. Aku pun keluar mengenderai keldaiku yang berwarna putih. Saat itu kami membawa unta betina yang telah tua. Demi Allah, unta tersebut sudah tidak mengeluarkan susu waima setitis pun. Sepanjang malam kami tidak boleh tidur kerana tangisan bayi yang kelaparan. Sedangkan aku tidak lagi boleh mengeluarkan susu yang boleh membuatkan diam, sedangkan pada unta yang kami bawa juga tidak dapat mengeluarkan susu.
Kami hanya mengharapkan hujan dan keajaiban. Kemudian aku keluar dengan mengenderai keldai, tetapi ia tampak keletihan sehingga berjalan sangat perlahan. Setelah sampai di Mekah, kami berusaha mencari bayi yang boleh disusui. Setiap wanita yang ditawarkan untuk menyusukan Rasulullah, akan menolaknya setelah mengetahui bahawa beliau ialah anak yatim.
Akhirnya semua wanita yang bersamaku berjaya mendapatkan bayi yang akan disusui, kecuali aku. Ketika aku sepakat hendak pergi, aku berkata kepada suami, ‘ Sungguh, aku tidak akan pulang sebelum mendapatkan bayi yang akan disusukan. Aku akan mengambil anak yatim itu.’ Suamiku bersetuju dengan keputusanku.
Setelah mengambil bayi itu, aku kembali lagi ke kenderaanku. Dan ketika aku letakkan ke pangkuanku, bayi itu terus menyusu sehingga kenyang. Demikian juga dengan saudara susuannya. Setelah itu, kedua-duanya tidur. Kemudian suamiku pergi menghampiri unta betina kami, ternyata unta itu sudah dipenuhi dengan susu. Lalu suamiku memerah susunya untuk kami minum sampai kenyang. Akhirnya kami tidur nyenyak pada malam itu.”
Lebih lanjut Halimah bercerita, “ Pada pagi harinya, suamiku berkata, ‘ Wahai Halimah, tahukah engkau, demi Allah, engkau telah mengambil jiwa yang penuh berkah.’ ‘Demi Allah, aku juga berharap sebegitu juga’. Setelah itu kami pun pergi. Kemudian kami tiba di kampung kami di negeri bani Saad. Seekor kambing mendekat ke arahku dalam keadaan kenyang dan penuh air susu. Lalu kami memerah susunya dan meminumnya,saat haiwan orang lain tidak mengeluarkan susu sedikit pun.
Kami terus menerima berkah dan limpahan kebaikan sehingga bayi itu berumur dua tahun lalu aku sapih”. Anak ini pun tumbuh besar dan sihat, berbeza dengan anak-anak yang lain.
0 comments:
Post a Comment
Kongsikan ilmu atau suarakan pandangan